Minggu, 22 Desember 2013

Kontraktor Dipenjara Dua Bulan Denda RM15 000


JOHOR BAHARU – Seorang kontraktor dihukum penjara dua bulan dan denda RM15,000 oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini selepas mengaku bersalah memberi suapan kepada seorang pengawal keselamatan, Julai lalu.

Hakim Mohamad Haldar Abd Aziz menetapkan hukuman penjara itu berkuat kuasa hari ini dan turut mengarahkan tertuduh, Tan Ken Kok, 46, dipenjara enam bulan sekiranya dia gagal membayar denda berkenaan.

Tan, didakwa memberikan suapan wang tunai 950 Dolar Singapura kepada pengawal terbabit, Wan Sopian Rahim sebagai dorongan supaya tidak mengambil tindakan kerana disyaki menggunakan kad kredit curi untuk membeli satu lensa kamera jenama Canon EF70-200.

Kesalahan terbabit dilakukan di aras bawah, Danga City Mall, Jalan Tun Razak, di sini, kira-kira pukul 6.15 petang, 14 Julai lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 24 akta yang sama yang membawa hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 atau mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Pendakwaan dijalankan Pegawai Pendakwa SPRM Sajori Martubi manakala Tan tidak diwakili peguam. – BERNAMA

0 komentar:

Posting Komentar

◄ Newer Post Older Post ►
 

Copyright 2011 mesin info