Minggu, 22 Desember 2013

BR1M naik RM1 000 pulak Relevan ke

(Oleh Aisha Geoffrey)
KUALA LUMPUR 7 Jan: Bantuan Rakyat 1 Malaysia (BR1M) yang naik daripada RM500 kepada RM1,000 tidak relevan dengan keadaan ekonomi negara dan hanya janji palsu BN menjelang pilihan raya, kata Ketua Srikandi KEADILAN, Siti Aishah Shaik Ismail.
Beliau mengulas kenaikan dan pengumuman Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang menyatakan, penambahan jumlah itu akan menjadi dasar kekal jika BN menang pada pilihan raya umum nanti.

“Ini cara untuk ‘pancing’ undi rakyat. Hanya sekadar janji palsu kerajaan kerana ia tidak relevan dan seimbang dengan keadaan ekonomi negara yang semakin dibebani hutang,” katanya ketika dihubungi.
Rakyat tegas Aishah, memerlukan bantuan berterusan dan berharap keadaan ekonomi bertambah baik untuk mengimbangi taraf hidup seharian.

“Maruah rakyat bukan terletak kepada sekeping vaucer wang tunai. Mereka mahu kerajaan Umno kembalikan keadaan ekonomi yang seimbang supaya tidak perlu lagi menanggung hutang seterusnya meningkatkan kos sara hidup,” jelasnya.
Menurut Aishah, jika benar kerajaan telus menyalurkan bantuan kepada rakyat, ia sepatutnya tanpa bersyarat.

“Tidak perlu letakkan syarat sebelum atau selepas pilihan raya, umpama ugutan. Kalau mahu wang (rakyat) mesti undi (BN). Jika tidak, tiada bantuan,” katanya.
“Tanggungjawab utama Muhyiddin dan kerajaan sekarang adalah untuk menjelaskan ke mana hilangnya wang yang diseleweng pemimpin Umno, seperti yang didedah Pakatan Rakyat,” tambahnya.
“Rakyat makin bijak. Apa yang mereka mahu ialah penjelasan dan bukan ‘umpan murahan’ yang sedikitpun tidak akan mengembalikan kepercayaan terhadap pemerintah sekarang,” kata Aishah.
Short URL: http://www.keadilandaily.com/

0 komentar:

Posting Komentar

◄ Newer Post Older Post ►
 

Copyright 2011 mesin info